KUALA LUMPUR: Program Mobile Clinic diteruskan lagi ke destinasi ketiga di PPR Hilir Ampang bagi menyantuni penduduk di situ khususnya golongan asnaf dan warga emas.
Program hasil usahasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendapat sambutan mengalakkan apabila Mobile Clinic dikunjungi ramai penduduk yang mahu membuat pemeriksaan kesihatan dengan percuma.
Seorang usahawan kecil dan orang kelainan upaya (OKU), Nawasi Wabni, 53, turut meluangkan masa hadir ke Mobile Clinic biarpun terpaksa berkerusi roda.
Menurut Nawasi, beliau terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan beliau mendapat kecacatan fizikal kekal.
“Saya dah lumpuh separuh badan dan tidak boleh berjalan selama 21 tahun jadi kehidupan saya hanya bergantung pada kerusi roda elektrik,” katanya.
“Hari ini saya datang untuk buat pemeriksaan kesihatan memandangkan keadaan saya ini, risau jika ada penyakit lain tetapi alhamdulillah doktor beritahu saya sihat, cuma ada kencing manis,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, perlaksanaan Mobile Clinic ini sangat memudahkan masyarakat untuk datang membuat pemeriksaan kesihatan kerana faktor jarak dan layanan petugas yang mesra.
“Teruskan sahaja klinik bergerak ini sebab ia memudahkan golongan yang macam saya untuk datang buat pemeriksaan kesihatan dan sebagainya. Rawatan pun bagus dan percuma.”
Program Mobile Clinic akan berlangsung lagi pada esok hari di tempat yang sama.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today