Kerohanian

Program `Fast Track’ Tahfiz tahun depan

Kerajaan Negeri Sembilan taja 50 pelajar 2021

SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan projek rintis Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 50 pelajar lepasan tahfiz di negeri itu tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata usaha itu dibuat berikutan peluang pekerjaan untuk mereka dalam sektor seperti perubatan, kejuruteraan, dan perundangan, agak terbatas.

Katanya ini disebabkan mereka tidak mendapat pendidikan secara formal dalam akademik mahupun kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Menerusi program itu, mereka perlu mempelajari sukatan pelajaran selama lima tahun bermula dari tingkatan satu hingga lima hanya dalam tempoh setahun sebelum menduduki peperiksaan SPM pada akhir tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata  pihaknya kini dalam proses penilaian bagi mendapatkan premis pendidikan yang sesuai untuk pelaksanaan projek berkenaan.

“Lawatan ke Maahad Tahfiz As-Sa’adiyyah (MTAS) di Senawang semalam bagi menilai kesesuaian persekitaran dan kemudahan untuk melaksanakan program akademik khas ini,” katanya.

Selain itu katanya bagi pelajar tahfiz yang tidak berminat terhadap akademik namun cenderung kepada bidang kemahiran, mereka akan dtempatkan di institusi TVET termasuk Kolej Komuniti dan GiatMara di Negeri Sembilan. -BERNAMA

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button