KUALA LUMPUR : Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai mengelak membeli produk kosmetik Skin Revolution – Acne Clearing solution.
Produk tersebut dikenal pasti mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A Halim, notifikasi produk kosmetik terlibat dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” ujarnya.
Ekoran itu, penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta merta hal ini kerana, perkara tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Tambah Norhaliza, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Sementara itu, beliau menasihati orang awam untuk segera menghentikan penggunaan produk itu dan dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store.
Oleh Nurshazlin Shahrom