“Priya bawa lari `pampers’, dia suka sangat! – Ananth
Siapa pun, MAPIM cakna tidak kira bangsa, agama
KUALA LUMPUR : Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, musibahnya bukan kepalang menjejaskan majoriti sektor ekonomi.
Kesan Covid-19 telah menyebabkan golongan sederhana menjadi miskin, dan miskin menjadi miskin tegar seperti pernah disebut Bank Dunia baru-baru ini.
Pun begitu, masih ada yang berkemampuan, sudi menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik, tidak kira agama dan bangsa.
Ananthan A/L Rajendran adalah antara keluarga India yang disenarai mereka yang menerima bantuan terkesan akibat Covid-19.
Apatah lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di Lembah Kelang sejak dua minggu lalu, pergerakan warga wilayah ini terbatas.
Dia yang tidak bekerja sejak pertengahan tahun, menyambut baik kehadiran pasukan gerak kerja dan sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Mejar Zul Hanis Zainol.
Menurut Ananth, yang tinggal di flat Intan Baiduri Kepong, ketika ini dia sememangnya mengharapkan ihsan orang ramai sambil sedang menunggu sebarang tawaran pekerjaan.
Isterinya, Mary kini perlu menjalani rawatan dialisis, pada masa yang sama bergilir-gilir dia menjaga anak dan isteri.
Anak bungsunya Priya yang mengalami kesukaran pernafasan dan tumbesaran tidak normal sememangnya menuntut diurus dengan lebih rapi.
Priya, jika dilihat tidak menunjukkan usia sebenarnya iaitu lapan tahun.
Dia begitu teruja ketika disantuni sukarelawan, seolah menghargai pemberian kecil penyumbang dana ummah untuk ummah.
Ketika melihat lampin pakai buang dibawa sukarelawan MAPIM, Priya terus memeluk dan membawanya masuk ke dalam rumah.
Ananth, ketika ditemui mengucapkan rasa syukur tidak terhingga kerana masih ada yang sudi memberi sumbangan.
“Saya rasa syukurlah, ada yang datang tak sangka sebab yalah kami lain bangsa, tapi ini pun sudah cukuplah dapat kurangkan beban saya”- Ananth
Dengan Bahasa Melayu yang fasih, Ananth berterima kasih, dan tenang menceritakan kesukaran hidupnya, malah katanya rumah yang didiami sekarang pun atas hasil bantuan daripada rakan strategik MAPIM.
Sementara itu, menurut Mejar Zul Hanis dana ummah MAPIM itu tidak dihadkan sumbangannya kepada masyarakat Islam sahaja, sebaliknya sejak bulan puasa lalu, pelbagai bangsa telah pun menerima bantuan terbabit.
“Jadi 62 tahun dalam Malaysia kita sudah sama-sama hidup, ini antara kita kena bantu tidak kira latar belakang agama dan bangsa selagi mereka amat memerlukan walaupun tidak banyak kita tolong sesama masyarakat Malaysia” – Setiausaha Agung MAPIM Malaysia / Mejar Zul Hanis Zainol
Walau sumbangan yang tidak seberapa, Priya sangat teruja `membongkar’ kotak hasil sumbangan rakyat Malaysia.
Ananth berharap ada harapan dan sinar baharu untuk keluarga kecilnya itu.
MAPIM Malaysia cakna dengan keluhan mereka yang ingin dibantu, tidak kira agama dan bangsa, namun demi penghuni negara bernama Malaysia!
*__________________________________________________________________________________
2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500, RM3,000 & RM5,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan khidmat lain. Sumbangan boleh dibuat melalui:
WWW.BANTUUMMAH.COM
ATAU
menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066