Polis rusuhan Iran bertempur dengan penunjuk perasaan
Oleh : Nursilawati Supandi – Wartawan Pelatih Ummah Today
DUBAI: Pasukan keselamatan Iran bertempur dengan pelajar di sebuah universiti terkemuka di Tehran semalam.
Protes anti-kerajaan, yang bermula pada pengebumian Mahsa Amini yang berusia 22 tahun pada 17 September di bandar Kurdish Saqez, telah menjadi rusuhan besar terhadap pihak berkuasa Iran dan ramai yang mendesak untuk menamatkan lebih daripada empat dekad pemerintahan kerajaan revolusi Iran.
Akaun aktivis Twitter, 1500tasvir, yang mempunyai kira-kira 160,000 pengikut, menyiarkan beberapa video yang menunjukkan Universiti Sharif, yang secara tradisinya menjadi tempat perdebatan idea, dikelilingi oleh berpuluh-puluh polis pencegah rusuhan.
Beberapa video menunjukkan pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata untuk menghalau pelajar keluar dari kampus dan bunyi tembakan jelas kedengaran.
Satu lagi video menunjukkan pasukan keselamatan mengejar berpuluh-puluh pelajar di tempat letak kereta bawah tanah universiti itu. Akaun itu memaklumkan berpuluh-puluh pelajar telah ditangkap.
Protes tidak reda walaupun angka kematian semakin meningkat. Hak Asasi Manusia Iran, sebuah kumpulan yang berpangkalan di Norway, mengatakan bahawa “setakat ini 133 orang telah terbunuh di seluruh Iran”, termasuk lebih 40 orang yang dikatakan maut dalam pertempuran minggu lalu di Zahedan, ibu kota wilayah tenggara Sistan-Baluchistan.
CNA