Semasa

Polis guna dron pantau pematuhan SOP di Putrajaya

PUTRAJAYA : Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya kini dipantau Unit Dron Pasukan Gerakan Udara, Bukit Aman.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di Facebook berkata penglibatan operasi unit berkenaan telah bermula pada 16 September lalu.

“Antara lokasi itu termasuklah taman-taman awam yang jelas dapat dilihat ada pertambahan luar biasa pengunjung susulan kelonggaran Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya hari ini.

Menurutnya, penggunaan dron dalam pemantauan udara yang dikendalikan unit itu juga mampu bertahan selama 30 minit dan boleh diterbangkan dalam radius sehingga lapan kilometer.

Selain itu, ia turut memiliki teknologi rakaman gambar serta membuat hebahan awam secara terus dari udara dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Tamil dan Mandarin.

Dron berkenaan juga berupaya menghantar maklumat kepada pasukan pemantau sekiranya ia mengesan pengunjung yang tidak mematuhi SOP di lapangan, sebelum pemantauan secara fizikal dilakukan.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button