PETALING JAYA : Kanak-kanak warga asing yang dipercayai meminta sedekah di jalanan sedang dicari oleh pihak Polis Kuala Lumpur selepas beberapa video tentang mereka tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung perkara itu mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
Jelas beliau, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mana-mana orang yang mengakibatkan kanak-kanak atau sebagai seorang yang mempunyai penjagaan seorang kanak-kanak, membenarkan berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud mengemis, menerima sedekah adalah satu kesalahan.
Menurutnya, jika disabit kesalahan, mereka terlibat boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan (Bahaya atau galangan di jalan awam atau di haluan pelayaran awam) iaitu siapa dengan melakukan apa-apa perbuatan dengan meninggalkan daripada menjalankan aturan mengenai apa-apa harta yang ada dalam milikannya atau di bawah jagaannya menyebabkan bahaya, galangan atau bencana kepada seseorang di mana-mana jalan awam atau di mana haluan pelayaran awam, hendaklah dihukum dengan denda yang boleh sampai RM400.
“Perbuatan yang dilakukan oleh kanak-kanak berkenaan juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Tegas Saiful Anuar, sambil memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang.
“Pihak polis juga meminta bantuan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today