KUALA LUMPUR : Selepas dua tahun mengenakan sekatan keluar masuk bagi menangani pandemik Covid-19, Malaysia mengumumkan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan membuka pintu sempadan berdasarkan tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta Covid-19, membanding keperluan pembukaan pintu sempadan dan keselesaan kepada pengembara.
Menurutnya, Malaysia kini terbuka untuk menerima semua pelancong dan pengembara yang mempunyai dokumen lengkap.
“Keputusan ini juga membolehkan rakyat Malaysia yang ada dokumen sah boleh keluar masuk Malaysia seperti biasa dan dibenarkan ke mana-mana negara yang telah membuka pintu sempadan mereka.
“Dalam pada itu, MyTravelPass juga akan dimansuhkan, ini bermakna rakyat luar negara dibenarkan keluar masuk Malaysia tanpa perlu membuat permohonan,” katanya.
Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan ini akan membantu ekonomi negara yang terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, beberapa prosedur masih wajib dipatuhi ketika pelancong memasuki Malaysia berikutan kebimbangan mengenai penularan varian Omicron.
Kerajaan melonggarkan beberapa lagi syarat termasuk tempoh pembukaan perniagaan dan tiada penjarakan untuk saf solat.