NEW DELHI : Tiga pindaan undang-undang pertanian yang telah mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran hampir setahun oleh golongan petani di India kini dimansuhkan.
Perdana Menteri India, Norendra Modi, selepas sekian lama berkeras mahu meneruskannya akhirnya beliau mengumumkan keputusan luar jangka itu.
“Kami memutuskan untuk memansuhkan ketiga-tiga pindaan undang-undang pertanian dan proses perlembagaan akan dimulakan apabila sesi Parlimen bermula pada akhir bulan ini.
“Saya merayu kepada semua petani yang menyertai tunjuk perasaan selama ini… kembalilah ke rumah masing-masing kepada orang tersayang dan keluarga, kembali usahakan tanah anda.
“Kita mulakan lembaran baharu dan bergerak ke hadapan,” katanya.
Pimpinan Modi menerima tentangan hebat apabila ribuan petani bertindak menyertai tunjuk perasaan terbabit berkhemah di pinggir New Delhi sejak November 2020.
Terdahulu, kerajaan Modi mendakwa sektor pertanian yang disifatkan kurang cekap dapat dipulihkan melalui pindaan undang-undang yang diusulkan.
Namun, petani bimbang pindaan berkenaan akan menjadikan mereka mangsa penindasan dan manipulasi syarikat korporat.
Tunjuk perasaan bertukar ganas Januari lalu apabila perarakan traktor di New Delhi gagal dikawal, menyebabkan seorang petani terbunuh dan ratusan anggota polis cedera.
Untuk rekod, kira-kira dua pertiga daripada 1.3 bilion penduduk India hidup sebagai petani dan sektor itu sering menjadi mangsa percaturan politik.
Sementara itu di negeri Uttar Pradesh bulan lalu, lapan orang dilaporkan maut dalam pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
– AGENSI
Oleh Hafeez Anuar