Semasa

Pihak industri perlu kekal menjaga langkah pencegahan COVID-19

TANGKAK : Penularan wabak COVID-19 varian Omicron kian meningkat. Ini memberi petanda yang membimbangkan untuk sektor perindustrian. Walaupun negara sedang bergelut dengan gelombang Omicron, setiap syarikat dan industri diingatkan untuk meneruskan langkah pencegahan COVID-19 di tempat kerja seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan, bagi memastikan sektor itu terus beroperasi.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Inisiatif Safe@Work harus dikekalkan untuk mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan kesan ke atas produktiviti apabila terdapat kes positif COVID-19.

Safe@Work adalah satu inisiatif untuk mencipta satu persekitaran yang selamat di tempat kerja. Jika terdapat kes baharu, hanya pekerja yang bergejala sahaja yang akan diasingkan. Ini khusus kepada syarikat-syarikat kilang yang ada menyediakan asrama kepada pekerjanya. Sebaliknya mereka akan diasingkan dan diberi rawatan yang sewajarnya untuk memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan.

Menurutnya lagi, pihak majikan digalakkan untuk sentiasa membuat ujian berkala untuk memastikan setiap pekerja yang hadir tidak bergejala. Ini untuk memastikan kelangsungan ekonomi negara dapat berjalan seperti biasa dengan tiada sebarang sektor akan ditutup.

Mengulas lanjut, Azmin mengakui penutupan sementara sektor perindustrian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi negara tetapi juga di peringkat global kerana Malaysia merupakan antara pembekal utama beberapa rantaian.

“Ini membuktikan bahawa peranan Malaysia sangat penting. Walaupun kita ingin mengekang penularan COVID-19, kita juga mahu memastikan kesihatan ekonomi terpelihara. Adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan dan sektor swasta untuk bekerjasama membendung penularan wabak itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button