Pesawat Perang Dunia Ke-2 berjaya ditemui setelah 80 tahun dilaporkan hilang
NEW DELHI : Setelah 80 tahun dilaporkan hilang, akhirnya sebuah pesawat Perang Dunia Kedua berjaya ditemui berdekatan kawasan pergunungan Himalaya yang terpencil di India.
Menurut lapiran laman berita Wion News, penemuan serpihan pesawat itu dibuat oleh sebuah pasukan pencari di sebuah puncak gunung bersalji pada bulan lalu.
Pesawat itu dikatakan terhempas pada minggu pertama tahun 1945.
Pesawat pengangkut C-46 itu dikatakan membawa 13 penumpang dari bandar Kunming di selatan China sebelum hilang secara tiba-tiba ketika ribut yang berlaku di kawasan pergunungan di negeri Arunachal Pradesh, India.
Ketika operasi pencarian pada peringkat awal dijalankan pada September lalu, tiga pemandu arah maut akibat mengalami hipotermia, di mana suhu badan menurun.
Seorang pengembara dari Amerika Syarikat (AS), Clayton Kuhles dilaporkan mengetuai misi itu setelah mendapat kebenaran daripada anak kepada salah seorang anak kapal yang terlibat dalam kejadian itu bernama Bill Scherer.
“Apa yang boleh saya katakan adalah saya sangat gembira hanya kerana dapat mengetahui keberadaannya. Saya membesar tanpa bapa.
“Saya fikir akan perasaan ibu saya yang menerima telegram mengenai kematian suaminya dan ditinggalkan dengan seorang bayi lelaki berusia 13 bulan, iaitu saya sendiri,” jelas beliau.
– AGENSI