KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan individu yang sudah divaksin dan dimasukkan ke Hopsital Sungai Buloh dalam kategori empat dan lima Coivd-19 kebanyakannya penerima vaksin Sinovac.
Menerusi ciapan Twitter miliknya, Khairy berkata peningkatan pesakit dari minggu Epidemiologi (ME) Ke-35 hingga 45 ke hospital tersebut disebabkan sela masa bagi pemberian dos penggalak untuk penerima vaksin primer jenis Sinovac lebih pendek berbanding vaksin jenis lain.
“Mengapa sela (masa) dos penggalak yang lebih pendek untuk Sinovac iaitu tiga bulan berbanding Pfizer atau AstraZeneca (enam bulan)?
“Walaupun Sinovac berkesan, terdapat bukti keberkesanannya berkurangan lebih cepat,” katanya hari ini.
Why a shorter booster interval for Sinovac (3 months) vs Pfizer/AZ (6 months)? While Sinovac is effective, there is evidence it’s effectiveness wanes sooner. This is Cat 4 & 5 weekly admission into Hosp Sg Buloh. That’s why we want you to take whatever booster is on offer. pic.twitter.com/Fo1FVgwXpL
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) November 20, 2021
Tambah beliau, data menunjukkan peningkatan ketara kemasukan pesakit kategori empat dan lima ke Hospital Sungai Buloh bagi penerima vaksin Sinovac berbanding Pfizer dan Astrazeneca.
“Disebabkan itu, kami mahu anda mengambil apa sahaja dos penggalak yang ditawarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Khairy turut menjelaskan kebanyakan kes baharu Covid-19 ini berpunca daripada kontak rapat termasuk ahli keluarga dan kenalan.
“Disebabkan itu amalan TRIIS iaitu lakukan ujian, lapor, asingkan, maklumkan dan dapatkan rawatan segera adalah penting khususnya untuk memaklumkan keluarga anda dan rakan-rakan jika disahkan positif.
“Ini penting supaya mereka dapat segera melakukan ujian saringan kendiri,” katanya.
Oleh Nurshazlin Shahrom