Semasa

Pesakit Cederakan Petugas, Kenyataan Media Hospital Sungai Buloh

Susulan insiden pesakit covid-19 mencederakan frontliner sebelum lari dari hospital

Pihak Hospital Sungai Buloh dalam satu kenyataan media pada petang Jumaat telah memberikan penjelasan tentang insiden pesakit mencederakan petugas barisan hadapan sebelum melarikan diri dari hospital Isnin lalu.

Foto dari sumber internet
Foto dari sumber internet

Menurut Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur A/P Prem Singh, pesakit lelaki berkenaan ditempatkan di Wad Aras 5 selepas disahkan positif jangkitan covid-19. Tindakan agresif itu berlaku selepas pihak Hospital Sungai Buloh membuat penilaian tidak membenarkan permintaan pesakit itu untuk pulang ke rumah berikutan pesakit berada dalam kategori 3A dan hari ke-2 di dalam wad. Ini kerana, pesakit berkenaan masih memerlukan rawatan serta pemerhatian lanjut.

Pesakit lelaki itu turut bertindak mencederakan seorang jururawat serta cuba mencederakan pesakit-pesakit lain yang sedang menerima rawatan di dalam wad di aras sama.

Ketika pesakit itu duduk di bingkai tingkap hospital, beberapa petugas hospital termasuk pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sudah berusaha menariknya ke dalam tetapi lelaki itu jatuh lalu mengalami kecederaan.

Foto ihsan pengguna media sosial
Foto ihsan pengguna media sosial

Sejurus insiden berkenaan, ‘Code Blue‘ telah diaktifkan dan pasukan petugas perubatan daripada Jabatan Kecemasan segera datang memberikan rawatan kecemasan serta membawa pesakit itu ke Jabatan Kecemasan bagi tujuan rawatan lebih lanjut.

Sehingga kini, pesakit itu sudah menjalani sebanyak dua kali pembedahan dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan bantuan pernafasan.

Bagi mengelakkan kejadian berulang, semua tingkap di wad hospital yang ketika ini terpaksa dibuka bagi tujuan pengudaraan telah dihadkan luas bukaan dengan cara menukar engsel kekal. Selain daripada itu, petugas-petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dikehendaki mengenal pasti pesakit berisiko untuk diberikan perhatian dan rawatan khusus oleh pihak wad.

Pihak hospital telah membuat laporan polis dan insiden ini masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button