PalestinSemasa

Pertemuan MyAqsa Defender dan Hamas perkukuh kerjasama pejuang nasib Palestin

Isu yang melanda Palestin bukanlah hanya dikategorikan sebagai satu krisis kemanusiaan, sebaliknya ia berpunca daripada pendudukan tentera Israel secara haram dan perampasan ke atas penduduk Palestin.

Kini hampir empat juta rakyat Palestin hidup di bawah pendudukan yang paling kejam dan lama dalam sejarah moden merangkumi pembunuhan, rampasan, penghinaan, penculikan, penjara tanpa bicara.

Oleh yang demikian, Kolonel Bersekutu (PA), Tuan Haji Faris Hussain mewakili Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa seluruh umat Islam bersatu memperjuangkan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam serta tempat berakhirnya Isra’ dan bermulanya Mikraj Rasulullah SAW.

“Israel lakukan semuanya secara bebas, mengingkari undang-undang antarabangsa dan menghina semua pendukung hak kebebasan dan hak asasi dan memandang rendah pendapat majoriti masyarakat dunia.

“Justeru atas semangat kesatuan NGO-NGO Islam yang teguh menentang kekejaman Israel dan sekutunya, tertubuhlah satu koalisi penuh bersejarah di Malaysia pada tahun 2021 yang dinamakan sebagai MyAqsa Defender,” katanya ketika pertemuan koalisi My Aqsa Defender bersama pimpinan HAMAS.

Dalam pada itu, Tuan Haji Faris menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghormatan kepada para pejuang HAMAS serta rakyat Palestin yang bermati-matian mempertahankan bumi barakah Palestin.

“Kami menyatakan perjuangan kami bukan di belakang mahupun di hadapan, tetapi di sisi kalian, Hamas dan seluruh rakyat Palestin untuk meletakkan titik noktah kepada keganasan sistematik terhadap penduduk dan tanah mereka.

“Kami tidak tidur dan tidak akan sekali-kali leka dengan strategi Israel yang menafikan rakyat Palestin terhadap tanah mereka dan menghapuskan budaya, geografi, identiti, masyarakat dan sejarah kewujudan mereka,” tegasnya.

Sementara itu, Osama Hamdan selaku Biro Politik Harakat Al-Muqāwamah Al-Islāmiyyah (HAMAS) mengakui bahawa sokongan yang tidak henti diberikan oleh Malaysia terhadap Palestin adalah sangat efektif dan cukup untuk membuatkan rakyat Palestin merasakan bahawa mereka tidak keseorangan.

“Terima kasih Malaysia atas sokongan yang berterusan terhadap Palestin. Saya berharap agar rakyat di sini boleh menghulurkan sumbangan dan membantu khususnya terhadap anak-anak yatim piatu di sana yang kehilangan ibu bapa akibat dibunuh tentera Israel.

“Saya juga ingin tekankan penggunaan media sosial amat penting dalam mempertahakan rakyat Palestin agar satu dunia sedar akan isu yang melanda di sana, selain itu kita boleh menjalinkan kerjasama dengan organisasi negara Islam dari serata dunia untuk mempertahankan Al-Aqsa,” katanya.

Pertemuan koalisi tersebut turut dihadiri oleh YB Umm Salamah yang turut mewakili MyAqsa Defender, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairuddin Hashim dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Cinta Gaza Malaysia Tuan Johan Muhammad.

MyAqsa Defenders (MyAD) merupakan sebuah NGO gabungan 22 NGO-NGO di Malaysia yang memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan Palestin dengan visi untuk menuju kepada bumi Palestin yang aman menjelang tahun 2030.

NGO-NGO di dalam MyAD diterajui oleh anak-anak muda dan merupakan golongan pelapis yang bakal menjadi pasukan barisan hadapan kearah pembebasan bumi Palestin.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button