Permohonan pengeluaran i-Citra dibuka mulai hari ini – KWSP
KUALA LUMPUR : Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula hari ini, iaitu tiga hari awal sebelum tarikh asal.
KWSP dalam satu kenyataan, berkata permohonan boleh dibuat melalui icitra.kwsp.gov.my dan ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP).
“Menerusi i-Citra, ahli yang layak boleh membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.
“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.
“Pembayaran pertama i-Citra dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula dari bulan Ogos 2021”, katanya, semalam.
Di samping itu, KWSP turut menasihatkan supaya ahli memiliki akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran tersebut.
Pengeluaran i-Citra ini diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.
Menurutnya, ia sebagai satu inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.
Untuk maklumat lanjut mengenai i-Citra, serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP, laman web di www.kwsp.gov.my, atau hubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.
Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ