Perginya seorang permata Islam, Sheikh Dr Solah Abdul Fatah al-Khalidi
إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن.
Dunia Islam kehilangan seorang lagi ulama tersohor, Sheikh Dr Solah Abdul Fatah al-Khalidi, yang dikenali pakar dalam bidang Tafsir dan Ulum Tafsir.
Beliau dilaporkan kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat (28 Januari) bersamaan 25 Jamadilakhir.
Kehilangan beliau mendapat perhatian di Malaysia kerana ramai yang pernah menjadi anak muridnya, atau sempat bertemu dengannya dan menjadikan Sheikh Dr Solah sebagai antara rujukan penting dalam ilmu tafsir al-Quran.
Antara yang pernah berhubung dengannya adalah penceramah terkenal, Dr Mohd Izhar Ariff yang turut berkongsi berita sedih ini menerusi satu hantaran di Facebook.
“Telah kembali ke rahmatullah guru dan pakar rujuk kami Sheikh Dr Solah al-Khalidi. Seorang ulama tersohor dalam bidang Tafsir dan Ulum Tafsir. Buku-bukunya sering dirujuk oleh Mufti-mufti kebangsaan dan antarabangsa. Kita kehilangan ulama lagi..”, katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Izhar turut berkongsi pengalamannya yang pernah berhubung dengan Sheikh Dr Solah pada tahun 2008 ketika meminta menjadi pentazkiah bagi menjadi pelajar PhD di University al-Imam Muhammad ibn Saod Riyad.
“Malangnya, ketika itu bidang kajian saya tiada di Universiti tersebut. Kenangan terindah…,” tambahnya.
Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi dilahirkan di bandar Jenin pada 12 Januari 1947 M/18 Muharam 1367 H.
Beliau dikenali sebagai tokoh Islam yang mencelikkan hati dan pemikiran dengan pelbagai persoalan hidup melalui suluhan al-Quran.
Kepakaran Sheikh Solah adalah pada memudahkan teks yang rumit kepada huraian yang difahami oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang tidak kurang penguasaan dalam Bahasa Arab.
Antara karyanya yang terkenal ialah:
- Qasasul Quran
- Al-Khulafa’ al-Rashidun Bayna al-Istikhlaaf wa al-Istisyhaad (Al-Khulafa’ al-Rashidun Daripada Perlantikan Sebagai Khalifah Sehingga Syahid)
- Ma’ Qasas al-Sabiqin fi al-Quran
- Qabasat Tarikhiyyah
- Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran
- Suwarun min Jihaadissahabah
- al-Qasas al-Qurani
- Khittah Barraqah li zi An-nafs At-tawaqquh’
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Semoga jasa dan pengorbanan beliau menjadi contoh dan inspirasi buat seluruh umat Islam dan juga buat generasi akan datang.
الفاتحة.