Percaya kepada mitos Tasik Dayang Bunting adalah syirik
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Tasik Dayang Bunting merupakan sebuah pulau yang penuh dengan kisah lagenda dan mitos malah, ia merupakan destinasi yang menjadi pilihan pengunjung apabila datang ke Pulau Langkawi.
Sesiapa yang pernah berkunjung ke Tasik Dayang Bunting pasti akan melihat struktur gunung yang menyerupai seorang wanita sedang terbaring dengan bentuk kepala, dada dan perut yang sedang mengandung.
Baru-baru ini, viral di media sosial, seorang pengguna telah memuat naik video yang menyatakan tentang mitos yang kononnya mereka yang sukar memperoleh zuriat, akan mudah hamil selepas berkunjung ke tasik dayang.
Masyarakat Melayu yang penuh dengan petua dan mitos yang mempercayai bahawa mereka yang mahukan zuriat boleh berikhtiar untuk mandi di tasik tersebut.
Namun, kepercayaan yang disandarkan kepada mitos tersebut sangat bercanggah dalam Islam seolah-olah menyekutukan Allah atau syirik malah memesongkan akidah seseorang.
Umum mengetahui perbuatan syirik adalah dosa besar dan ia diharamkan dalam Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah al-Nisa’: 48)
Menyinggah di ruang komen, rata-rata warganet bersetuju bahawa mitos itu merupakan perbuatan syirik yang sepatutnya tidak boleh diyakini oleh seseorang muslim.
Sebagai umat Islam, kita seharusnya percaya dalam anugerah zuriat yang ditakdirkan Allah SWT. Ujian dan dugaan yang dihadapi diiringi dengan tawakal serta bersangka baik kepada Allah SWT.