DuniaKerohanianSemasa

Tabung Haji nasihat hati-hati dengan tawaran badal haji di media sosial

PDRM kesan pakej penipuan tawar haji, umrah di ketika pandemik

PETALING JAYA: [KEMAS KINI]  Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran badal (upah) haji yang sering dipromosikan di media sosial oleh agensi pelancongan dan individu tertentu.

Bahagian Hal Ehwal dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga TH memaklumkan, pelaksanaan Rukun Islam yang kelima memerlukan setiap jemaah dari luar Arab Saudi mendapatkan visa menunaikan haji manakala penduduk tempatan perlu memohon permit terlebih dahulu.

“Sehingga kini, Kerajaan Arab Saudi masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan pelaksanaan ibadat haji tahun ini.  Selain itu, tawaran badal haji pada kadar bawah RM2,500 (seorang) adalah tidak munasabah kerana kos permit dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji adalah jauh lebih tinggi,” – kenyataan media Tabung Haji

Memetik Utusan, justeru, TH katanya meluahkan rasa bimbang dengan kes penipuan badal haji yang berlaku setiap tahun.

“Kami meminta orang ramai untuk memastikan ejen atau individu yang menawarkan perkhidmatan ini mempunyai kebenaran menunaikan haji serta berkelayakan dari segi ilmu untuk melaksanakan badal haji itu dengan sempurna.

“TH dan anak-anak syarikatnya tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu bentuk penipuan berkaitan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun 2021, yang ditawarkan beberapa agensi pelancongan sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, penawaran pakej sedemikian amat meragukan, kerana ia ditawarkan walaupun dalam tempoh negara dilanda wabak COVID-19, serta sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan kerajaan.

Jemaah haji mengekalkan penjarakan sosial di samping melaksanakan ibadah haji muslim lalu.
“Kerajaan sebelum ini telah menyatakan, bahawa ia masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berkenaan kebenaran ibadah haji, serta kuota yang dibenarkan bagi musim 2021, jadi pakej penawaran haji itu amat meragukan.” – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button