Semasa

Penunggang “GrabFood” bantu lelaki tua lintas jalan

PETALING JAYA : Sering kali kita mendengar penghantar makanan mempunyai reputasi buruk di jalan raya. Walaupun tidak semuanya begitu, tetapi yang buruk juga diingat orang. Masih ramai sebenarnya penghantar makanan yang mulia sikapnya.

Antaranya, adalah seorang penunggang GrabFood  yang membantu seorang lelaki buta bagi melintas jalan.

Seorang netizen telah memuat naik di akaun media sosial, TikTok, yang merakam peristiwa tersebut di Masjid Lama Batu 6 di Gombak.

Melalui rakaman tersebut dapat dilihat seorang lelaki buta yang bertongkat  berdiri di tepi jalan. Penunggang GrabFood memarkir basikalnya dan memimpin tangan orang buta itu sehingga sampai di seberang jalan dengan selamat.

Pengguna-pengguna TikTok telah memberikan lebih daripada 30,000 tanda suka, dan komen menghargai tindakan dan kemurahan hati penunggang GrabFood tersebut.

“Penunggang GrabFood benar-benar pahlawan di jalan raya,” tulis pengguna @Salimi. “Mereka akan muncul dan menolong apa pun keadaan sekalipun. Semoga Tuhan memeliharanya dan memberkati dia,”

Video ini menyayat hati seorang pengguna, Mohd Radzuan Abdul, yang memuji kesungguhan penunggang dalam membantu lelaki buta itu.

Putra Z menambahkan komen emoji ‘tanda bagus’, dan mengatakan bahawa mana-mana penghantar makanan, tanpa mengira bangsa, akan membantu seseorang yang perlukan pertolongan di jalan raya.

“Saya terharu,” tambah seorang netizen @Kucing.

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button