Semasa

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN

3 bulan lagi kepada yang layak

KUALA LUMPUR : Kerajaan melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

Katanya, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac ini.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula daripada bulan permohonan perlanjutan diluluskan.

“Diharap pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPTN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember lalu kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.- Berita Harian

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button