PendidikanSemasa

Penstrukturan semula gaji pengajar KEMAS masih dalam perbincangan awal

BANGI – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, cadangan penstrukturan semula gaji tenaga pengajar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengikut kelulusan dan pengalaman masih di peringkat perbincangan awal.

Pada masa ini cadangan itu masih dalam proses libat urus antara pihak Kemas dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta masih belum dibincangkan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pada Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KKDW berhasrat melaksanakan penstrukturan gaji tenaga pengajar tabika di bawah Kemas berdasarkan kelayakan dimiliki mereka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata skim gaji ketika ini tidak berasaskan kelulusan dan tidak adil kerana terdapat antara pendidik di Tabika Kemas berkelulusan diploma dan ijazah, tetapi tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh kerajaan.

Terdahulu, Rubiah menyampaikan APC kepada 156 pegawai dan kakitangan Kemas dari ibu pejabat, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Institut Latihan Kemas Kuala Lumpur dan Pusat Latihan Kemas Melaka.

Related Articles

Back to top button