PolitikSemasa

Peningkatan ancaman keganasan & ekstremisme semakin membimbangkan

Ancaman sebegitu boleh berlaku sepanjang masa secara sedar atau tidak

KOTA KINABALU: Ancaman keganasan dan ekstremisme perlu diberikan perhatian setara dengan isu-isu lain, bagi mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara anggota Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata peningkatan ancaman keganasan dan ekstremisme semakin membimbangkan dan boleh berlaku sepanjang masa secara sedar atau tidak sedar.

“Islam mengajar umatnya sentiasa menjaga kerukunan hidup bertunjangkan semangat damai dan sejahtera, oleh itu kerjasama semua negara anggota MABIMS perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kertas Tema Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Ke-46 di sini hari ini.

Beliau berkata ekstremisme adalah satu fahaman yang melampaui batas sehingga melebihi had dan ketentuan yang sewajarnya, sama ada dari perspektif peraturan mahupun kemanusian.

Selain itu, Idris berkata SOM MABIMS mampu membentuk kesepakatan negara anggota untuk menjaga maslahat dan kepentingan umat Islam tanpa mencampuri hal-hal yang bersifat politik.

Malaysia merupakan tuan rumah SOM MABIMS Ke-46 yang berlangsung di Kota Kinabalu bermula semalam hingga Jumaat ini.

“Semoga pertemuan kali ini yang dihadiri lebih daripada 200 peserta akan membuahkan hasil terbaik dalam rangka untuk memperkasakan umat Islam di Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura,” kata Idris.

Beliau berkata seminar berkenaan adalah wadah terbaik untuk MABIMS bermuzakarah dan berkongsi idea untuk mengatur strategi bagi merealisasikan kesejahteraan ummah serta kehidupan beragama secara harmoni di negara masing-masing.

“Kesatuan dalam kalangan negara serumpun dan serantau merupakan satu perkara yang amat penting dalam kita mengharungi krisis yang berlaku di peringkat serantau dan global khususnya melibatkan ekonomi, ideologi, sosial, kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Jelasnya matlamat penubuhan MABIMS adalah untuk mewujud & mengukuhkan semangat persaudaraan sedia ada dalam kalangan umat Islam di Asia Tenggara. – BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button