Semasa

Penggali kubur terima Anugerah Tokoh “Frontliner” Ma’al Hijrah

PUTRAJAYA : Penggali Kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak Taman Selaseh merupakan salah seorang yang menerima anugerah Tokoh Frontliner Khas Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H.

Roslee Ali, 63, telah berkhidmat sebagai penggali kubur semenjak tahun 2011 hingga kini terpilih atas penglibatan beliau dalam urusan pengebumian jenazah Covid-19 semenjak pandemik mula melanda negara serta pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, anugerah yang diterima Roslee merupakan kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini.

“Beliau terlibat dalam urusan pengebumian jenazah Covid-19 sejak pandemik melanda negara serta pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Khamis.

Dr Zulkifli memberitahu, Roslee antara seorang daripada lima penerima Anugerah Khas sempena sambutan berkenaan.

Menurutnya, Anugerah Tokoh Barisan Hadapan turut diterima Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Bagi Anugerah Tokoh Korporat, ia dirangkul Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni manakala pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif.

Sementara itu, Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nur Maisarah Leong Yoke Keen pula menerima Anugerah Tokoh Mualaf.

“Anugerah Tokoh Utama Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun 1443H dianugerahkan kepada bekas Ketua Pengarah Kot Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral (B) Datuk Kamarudin Mamat.

Dr Zulkifli turut memaklumkan pemilihan dibuat setelah mengambil kira sumbangan individu dalam bidang masing-masing ke arah memperkukuhkan syiar dan syariat Islam di negara ini, khususnya di Wilayah Persekutuan

“Tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga penghargaan ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada semua penerima untuk terus menabur bakti di negara ini terutama di Wilayah-wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button