KerohanianSemasa

Empat Orang Asli peluk Islam serentak

PEKAN:

Empat Orang Asli suku kaum Jakun mendapat hidayah untuk memeluk Islam secara beramai-ramai pada majlis melafazkan syahadah di Kompleks Baitur Rahah, di sini, kelmarin.

Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, pengislaman mereka diadakan sempena Program Ramah Mesra Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Daerah Pekan Bersama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menurutnya, empat saudara baru terbabit masing-masing menerima bantuan kewangan RM300 disediakan MUIP sebagai sokongan selain meringankan beban mereka selama tujuh tahun.

“Turut disediakan bantuan hari raya oleh MUIP dan agensi berkaitan dan usaha mengislamkan masyarakat Orang Asli di daerah ini dilakukan secara berterusan.

“Selepas mereka memeluk Islam, usaha memberi pendidikan agama dilakukan pendakwah atau penggerak masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Guru Briged Dakwah secara berterusan di setiap kawasan penempatan mereka terutama di kawasan luar bandar dan pendalaman daerah ini.

“Kita akan memastikan semua saudara baharu terus mendapat pendedahan ilmu agama secara berterusan oleh guru agama dan pada peringkat awal, mereka diajar fardu ain seperti cara solat, menyucikan diri, perkara dilarang Islam dan berpuasa,” katanya.

Majlis itu dianjurkan PERKIM Cawangan Daerah Pekan, MUIP Cawangan Daerah Pekan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Pekan dan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Daerah Pekan.

Muhammad Hafidz berkata, sebelum ini pihaknya pernah mengadakan program berkhatan khusus untuk kanak-kanak masyarakat Orang Asli Islam di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan.

— HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button