HULU LANGAT : Usaha sama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) boleh digambarkan seperti peribahasa melayu ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.
Gandingan dua pertubuhan ini dalam menjayakan program Mobile Clinic atau Klinik Bergerak memberi manfaat kepada seluruh masyarakat khususnya golongan yang memerlukan seperti asnaf.
Program Mobile Clinic yang memasuki hari kedua pelaksanaannya berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Sri Nanding.
Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata klinik bergerak ini menyediakan rawatan eksklusif kepada masyarakat khususnya mangsa bencana agar dapat memberi dorongan serta semangat kepada mereka.
Pada masa sama, beliau berkata mesej utama klinik ini adalah untuk memberikan rawatan segera kepada mereka (mangsa banjir) dan tidak perlu ke bandar atau klinik yang tutup ekoran banjir yang berlaku.
“Dalam kontak krisis, memang kita akan fokus kepada makanan, minuman, tempat tinggal dan pakaian tetapi faktor yang lebih penting lagi ialah faktor kesihatan, mental, fizikal dan sebagainya serta ini memberi sebuah makna yang besar bahawa perubatan ini harus di arus perdanakan.
“MAIWP mengambil inisiatif memberi satu contoh pergerakan yang lebih mesra rakyat, lebih dekat dengan rakyat dan memberi keyakinan bahawa mereka akan dirawat di tempat yang bertutup agar mereka tidak perlu pergi ke hospital, malah pembedahan kecil boleh dilakukan di sini dalam keadaan yang tertutup kerana dalam krisis mungkin di tempat yang terbuka akan melibatkan aurat, pembedahan dan lain-lain.” katanya.
Ujar beliau, bas dua tingkat yang telah diubah suai sebagai klinik bergerak itu merupakan usaha terbaik yang dilakukan MAIWP untuk menyantuni golongan yang tinggal di lokasi pedalaman.
Dr. Mohd Daud berkata klinik bergerak ini masih dalam perancangan untuk melancarkan ‘anak kapal’ seperti van klinik bergerak pada masa akan datang.
“Kita akan lihat dari segi data penerimaan masyarakat, dekat mana kelemahan yang boleh diperbaiki untuk lebih menjadikan bas kita berfungsi dengan cemerlang.
“Saya berharap pihak kerajaan, korporat dan badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dapat lakukan perkara yang sama supaya banyak lagi klinik begini di seluruh Malaysia yang dekat dengan masyarakat.” katanya ketika ditemu bual Ummah Today.
Oleh Faiz Danial/NS – Wartawan Pelatih Ummah Today