
Oleh: Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof
KUALA LUMPUR: Pembayaran Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 akan dibuat lebih awal pada hari ini berbanding 20 April yang diumumkan sebelum ini.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bayaran itu akan dikreditkan secara berperingkat mulai hari ini.
“Ramai yang mesej dan komen di media sosial saya bertanyakan bolehkah, pengeluaran KWSP dibuat lebih awal?,” kata beliau.
Rintihan tersebut didengari oleh beliau, lalu membincangkan perkara ini dengan pihak KWSP dan akhirnya rakyat Malaysia dimaklumkan bahawa Pengeluaran Khas KWSP akan dikreditkan secara mulai seawal hari ini dan bukannya pada 20 April seperti diumumkan sebelum ini.
Zafrul berharap pengeluaran wang awal dapat menceriakan sambutan Aidilfitri #KeluargaMalaysia dan meringankan beban rakyat.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan Pengeluaran Khas sehingga RM10,000 untuk ahli KWSP di bawah umur 55 tahun buat kali terakhir.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan menyeluruh dalam kalangan rakyat yang terjejas dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan membina kehidupan mereka.
Permohonan pengeluaran dibuka mulai 1 April hingga 30 April dan pemohon boleh menyemak status permohonan di portal Pengeluaran Khas: https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/
-AGENSI