Semasa

Pengecualian sewa enam bulan kepada penyedia makanan kampus IPTA

KUALA LUMPUR : Pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diberikan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai bulan ini, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan itu akan membolehkan tanggungan kos sewaan berkenaan diserap, sekali gus mampu menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

Menurutnya, Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang dipengerusikan oleh Menteri akan dibentuk berdasarkan persetujuan cadangan dari pihak Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

“Ini bagi menyelaras dan melaksana dasar, memantau kawalan harga barang dan perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.

“Jawatankuasa ini turut disokong di peringkat institusi melalui jawatankuasa yang dipengerusikan Naib Canselor, Rektor atau pengarah bagi memperkemas pelaksanaan ke atas keputusan dasar di peringkat kementerian,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan badan persendirian akan bekerjasama dengan pihak KPT bagi memperkasa inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus di IPT.

“Keluarga Malaysia akan diperkenalkan sebagai inisiatif tambahan yang menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan,” katanya.

Dalam pada itu, kemudahan pengangkutan pelajar dalam dan ke luar kampus akan turut ditambah baik melalui penyediaan jadual pergerakan yang lebih kerap bagi memudah dan menjimatkan masa perjalanan aktiviti harian pelajar.

Noraini berkata, KPT akan terus menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh negara, selari aspirasi kerajaan yang prihatin serta komited membantu Keluarga Malaysia dalam saat mencabar ini.

“Kementerian maklum peningkatan harga barangan di negara ini turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus yang menjadi kegusaran utama pelajar ketika ini,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button