Pengasas dan presiden pertama ABIM meninggal dunia
KUALA LUMPUR: Pengasas dan Presiden pertama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Dr Ustaz Razali Nawawi, telah kembali ke rahmatullah pada jam 6.45 pagi Khamis.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor dan pemergian Allahyarham diumumkan melalui halaman Facebook rasmi ABIM Pusat.
Allahyarham Ustaz Razali yang meninggal dunia pada usia 83 tahun itu akan dimandi, dikafan, dan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada jam 10 pagi. Setelah solat Zohor, jenazahnya dijangka akan dikebumikan.
Pada hujung minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluangkan masa untuk menziarahi Allahyarham Ustaz Razali di kediamannya dan diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Allahyarham Ustaz Razali yang merupakan rakan karib Perdana Menteri memainkan peranan penting sebagai Presiden ABIM pertama pada tahun 1972.
Beliau memperkenalkan sistem usrah yang kemudiannya diambil alih oleh Anwar sebagai Presiden ABIM kedua pada tahun 1974.
Ustaz Razali berkhidmat dengan tekun dalam membangunkan dan memajukan organisasi tersebut, yang terus berjuang untuk kepentingan umat Islam di Malaysia.
Allahyarham Ustaz Razali kemudiannya melanjutkan perkhidmatannya sebagai Dekan Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dari tahun 1983 hingga 1993 juga turut memberikan sumbangan yang besar dalam bidang tersebut.
Kehilangan Ustaz Razali Nawawi merupakan satu kerugian besar buat masyarakat Malaysia, terutama dalam perjuangan untuk memperkukuhkan agama dan kepentingan umat Islam.
Beliau akan dikenang sebagai seorang pemimpin ulung dan tokoh yang berdedikasi. Semoga Allahyarham Ustaz Razali ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan dicucuri rahmat.