InspirasiKemanusiaanSemasa

Penerima Anugerah Khas Kepimpinan (Dr.) Ahmad Sani Araby penyambung legasi aktiviti kemanusiaan

TANJUNG MALIM : Muhammad Nur Naim Abdul Rehman, seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima Anugerah Khas Kepimpinan (Dr.) Ahmad Sani Araby sebagai penghargaan terhadap sumbangan tenaga dalam pelbagai program kesukarelawanan sepanjang pengajiannya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, sebaik selesai Majlis Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-23 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Sha, Muhammad Nur Naim diraikan oleh Pusat Alumni (PA) dan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI.

Menurutnya, ia bertujuan menghargai dan meraikan kejayaan graduan yang bergiat aktif dalam bidang kesukarelawanan, kepimpinan dan mempunyai sahsiah yang cemerlang.

Majlis penyerahan pemegang anugerah khas tersebut disampaikan Prof. Madya Dr. Norkhalid sambil disaksikan Pengarah Pusat Alumni, Dr Siti Hartini Azmi; Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPM , Dr Md Noor Saper.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dan mantan Majlis Perwakilan Pelajar bagi sidang 2019/2020 itu kini sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di UPSI.

(Dr.) Ahmad Sani Araby merupakan pengerusi kumpulan Syarikat Al Araby dan juga SiagaX Industry M Sdn.Bhd adalah seorang figura yang turun padang membuat perubahan dalam kerja bantuan dengan inovasi dan perundingan di negara bencana dan perang. Beliau aktif melakukan kerja kebajikan serta dinobatkan sebagai CEO Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM).

Perjuangan beliau dalam membela nasib ummah di 40 buah negara telah memberi inspirasi kepada ramai bagi melibatkan diri dalam kerja-kerja kemanusiaan.

(Dr.I Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada saudara Muhammad Nur Naim. Insan yang wajar dijadikan contoh untuk para remaja dan anak-anak muda bagi melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan.

“Saya berharap agar ramai lagi anak muda yang sanggup menyumbangkan tenaga dalam melaksanakan tugas murni ini di samping meneruskan legasi membantu Ummah apabila kami sudah tiada lagi ini,” menurutnya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button