Penduduk alami fasa ‘banjir termenung’ di Batu Pahat
BATU PAHAT: Cuaca panas sejak Selasa lepas tidak menjamin keadaan banjir di Batu Pahat di sini akan surut dalam masa terdekat dan aktiviti penduduk kembali seperti biasa.
Mangsa banjir, Khairi Johari Basri, 64, yang menetap di Parit Khalid berkata meskipun cuaca di sini semakin baik, air banjir terus meningkat susulan limpahan air dari daerah Segamat dan Empangan Bekok di sini.
“Masih ramai lagi penduduk sekitar ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun cuaca panas masuk hari ketiga kerana air makin naik dalam diam,” katanya kepada BERNAMA.
Kamal Yaman Mohd Salleh, 59, dari Parit Khalid pula menyifatkan keadaan banjir yang dialami ketika ini ialah banjir termenung dan akan surut sedikit demi sedikit dalam tempoh kira-kira enam hari akan datang jika keadaan cuaca tidak hujan.
Tambahnya, situasi seperti itu sering dialami penduduk setempat dan boleh memakan masa sehingga beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya.
Dia turut menyifatkan banjir tahun ini sebagai kedua terburuk selepas 2006 yang ketika itu air surut sepenuhnya memakan masa hingga sebulan.
“Kebanyakan kami ialah petani kecil dan apabila banjir seperti ini, kami tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian serta hilang punca pendapatan.”
“Jadi kami berharap pihak yang berkaitan perlu melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Tinjauan BERNAMA di sekitar Batu Pahat mendapati beberapa kawasan masih digenangi air dan laluan dinaiki air menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas kerana hanya satu jalan yang boleh dilalui.
Turut kelihatan, segelintir penduduk di beberapa kawasan juga cuba meredah banjir untuk pulang ke rumah selepas melihat keadaan cuaca panas sejak tiga hari lepas.
Paras air di Kampung Sengkuang semakin meningkat sehingga penduduk setempat terputus hubungan untuk ke Seri Bengkal, Parit Yaani, Sri Medan di Batu Pahat.
Selain itu, difahamkan, kedudukan Sri Medan di sini juga agak rendah dan seperti menjadi kawasan takungan selain berhampiran dengan Empangan Sembrong, Empangan Bekok dan Sungai Lenik, Chaah.
Setakat 8 pagi ini, bilangan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 45,048 orang berbanding 42,852 semalam.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 35,099 orang dipindahkan, diikuti Muar dengan 4,094 mangsa dan Tangkak dengan 2,436 orang.
BACA JUGA
Achey Bocey ikut MAPIM Rangers misi bantuan banjir di Johor