Semasa

Pemimpin dunia Islam diseru wujudkan perbincangan aktif – Idris Ahmad

PUTRAJAYA : Bagi membina wehdatul fikr (kesatuan fikrah) serta wehdatul amal (kesatuan tindakan), pemimpin Islam dari seluruh dunia digesa untuk mewujudkan perbincangan aktif dalam menggerakkan badan-badan Islam bersama agensi kerajaan bagi mewujudkan pelan tindakan perpaduan ummah di seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, dalam satu hantaran di Facebook berkata ia bertujuan memastikan perpaduan umat Islam di seluruh dunia sentiasa berpaksikan kepada Islam sebagai agama di sisi Allah.

Beliau yang mewakili Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih atas jemputan ke Persidangan Antarabangsa anjuran World Muslim Communities Council di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurutnya, persidangan itu bertepatan dengan waktu di mana negara-negara Islam dalam keadaan memerlukan pemikir dan cendekiawan Islam dari seluruh dunia bagi merealisasikan perpaduan umat Islam di seluruh dunia.

Saya menerangkan mengenai konsep “Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera” yang menjadi lambang komitmen kerajaan Malaysia kepada kesatuan dan perpaduan umat.

Perpaduan adalah kunci kepada keharmonian antara kaum yang menjadi ramuan pembentukan negara Malaysia,” menurut hantarannya di Facebook..

Persidangan yang dirasmikan oleh Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, Sheikh Nahayan Mabarack itu dihadiri pemimpin dunia Islam, mufti, ilmuan, pentadbir, penyelidik di peringkat antarabangsa yang menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dalam menyuburkan agenda penyatuan ummah dalam pelbagai bidang.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button