KUALA LUMPUR: Dengan kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam menghasilkan sebuah klinik bergerak semakin mendapat perhatian masyarakat.
Program Mobile Clinic MAIWP digerakkan ke lokasi yang kesembilan di Dewan Persatuan Penduduk Seksyen 1 Wangsa Maju, bersebelahan dengan balai polis di situ, hari ini.
Kedatangan penduduk sehingga mencatat seramai lebih 40 pesakit bagi membuat rawatan luka kecil dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Semua pesakit yang dirawat, majoritinya berbangsa Melayu dalam kalangan golongan muda dan warga emas.
Sehubungan itu, petugas sukarelawan dari Pusrawi International College Malaysia (PICOMS) dan seorang doktor Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan (MediCom) turut ringan tulang dalam membantu petugas MAPIM mengurus tempat pendaftaran, farmasi dan nombor giliran pesakit.
Menurut seorang pesakit, Syed Yusof A. Rahman, 73, berkata beliau keluar untuk membeli barang keperluan di kedai dan beliau tidak maklum dengan keberadaan program Mobile Clinic MAIWP ini pada hari ini.
“Sejujur pada awalnya, saya memang tidak tahu yang program klinik bergerak ni ada di sini walaupun terletak berdekatan dengan rumah.
“Tapi lepas balik daripada kedai tu, saya ternampak sebuah bas warna merah dengan ramai pengunjung duduk bawah khemah seperti menunggu giliran.
“Rupa-rupanya, memang betul sangkaan saya yang ini merupakan sebuah program klinik bergerak, jadi saya mesti rebut peluang yang ada ini untuk kebaikan diri sendiri juga,” katanya.
Tambah Yusof, beliau amat berpuas hati dengan rawatan serta pemeriksaan kesihatan yang diberikan termasuk layanan doktor dan khidmat layan pesakit.
Tujuan utama program ini adalah untuk terus memberikan yang terbaik dalam bidang perubatan dan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat terutamanya golongan asnaf atau mangsa bencana.
Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini memberikan ganjaran manfaat yang besar kepada masyarakat.
Mobile Clinic MAIWP-MAPIM akan meneruskan lagi khidmat perubatan dan rawatan ke kawasan-kawasan perumahan lain bagi menyantuni dan memberi pemeriksaan kesihatan kepada penduduk terutamanya golongan asnaf.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today