Semasa

Pembaca berita wanita Afghanistan dakwa dihalang bekerja

KABUL : Seorang wartawan wanita warga Afghanistan mendakwa dihalang bekerja di stesen televisyennya selepas Taliban mengambil alih negara itu dan merayu bantuan dalam satu video dimuat naik secara dalam talian.

Dalam video itu, pembaca berita terkenal, Shabnam Dawran, yang memakai tudung dan menunjukkan kad pekerjanya, mendakwa kehidupan warga Afghanistan kini terancam.

Di bawah rejim Taliban antara 1996 hingga 2001, wanita dikecualikan disisihkan daripada kehidupan umum, kanak-kanak perempuan dilarang ke sekolah, hiburan diharamkan dan hukuman ganas dilaksanakan.

Wartawan wanita turut menjadi sasaran militan dalam gelombang pembunuhan sejak beberapa bulan lalu menjelang pengambilalihan negara itu.

Bagaimanapun, sejak kembali berkuasa, Taliban mendakwa golongan wanita akan diberi hak mereka, termasuk pendidikan dan pekerjaan manakala media akan bebas.

Seorang pegawai Taliban turut ditemubual secara bersemuka dengan wartawan wanita, yang disiarkan di televisyen untuk membuktikan perkara itu.

Bagaimanapun, Dawran yang bekerja sebagai wartawan sejak enam tahun lalu di Afghanistan di agensi penyiaran milik kerajaan RTA, mendakwa beliau dihalang masuk ke pejabatnya minggu ini sedangkan pekerja lelaki dibenarkan.”Saya tidak berputus asa selepas pertukaran sistem dan mahu masuk pejabat, malangnya saya tidak dibenarkan masuk meskipun menunjukkan kad pekerja.”Pekerja lelaki yang memiliki kad pekerja dibenarkan masuk ke pejabat, namun saya dimaklumkan saya tidak lagi boleh meneruskan tugas kerana sistem sudah berubah.

“Kepada yang menonton video ini, jika dunia mendengar, bantulah kami kerana kehidupan kami kini terancam,” katanya.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button