Semasa

Pemandu, penumpang pengangkutan awam Sabah perlu lengkap vaksinasi

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri Sabah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi individu yang melengkapkan vaksinasi COVID-19 antaranya membabitkan sektor pengangkutan, rekreasi dan industri kreatif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata mulai 16 September ini semua pemandu dan petugas pengangkutan awam seperti bas henti-henti dan bas sekolah, teksi serta perkhidmatan e-hailing perlu lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Semua penumpang juga hendaklah lengkap divaksin dan berisiko rendah COVID-19 pada aplikasi MySejahtera…bas henti-henti dan bas sekolah dibenarkan dengan 50 peratus penumpang, manakala teksi dan perkhidmatan e-hailing dibenarkan dengan maksimum dua orang termasuk pemandu.

“Semua perkhidmatan pengangkutan awam ini membabitkan daerah yang sama iaitu dari jam 5 pagi hingga 10 malam dengan pematuhan penjarakan fizikal dalam kenderaan itu serta pemakaian pelitup muka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, Institut Latihan Pemanduan kenderaan bermotor dibenarkan beroperasi secara janji temu dengan ujian pemanduan untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan bermotor dibenarkan mulai 17 September.

“Semua pekerja, tenaga pengajar dan calon hendaklah lengkap divaksin, manakala syarikat pengendali hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 80 peratus,” katanya.

Masidi juga berkata, mereka yang lengkap divaksin dibenar melakukan aktiviti rekreasi air seperti renang, kayak, selam skuba, selam snorkel, berjalan di dasar laut, meluncur jet dan seumpamanya secara individu dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal.

Menurutnya, penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dibenarkan dengan kehadiran penonton yang lengkap divaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio agensi dan syarikat penyiaran saja.

“Penggambaran industri kreatif dalam dan di luar studio serta busking di luar atau dalam premis, termasuk persembahan di ruang istirahat hotel dibenarkan bagi mereka yang lengkap divaksin.

“Setakat 9 September lalu, sebanyak 49.5 peratus penduduk dewasa Sabah sudah melengkapkan pengambilan vaksin COVID-19 dan 65.8 peratus lagi memperoleh satu dos vaksin,” katanya.

Beliau berkata, Sabah semalam mencatat 2,246 kes positif menjadikan jumlah kumulatif 169,983 dan 3,059 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 144,289 orang, manakala 4,967 lagi sedang menerima rawatan.

– BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button