KUALA LUMPUR : Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua tempat tertutup dan terbuka bermula esok.
Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi melaporkan keputusan itu dibuat susulan kes harian jangkitan Covid-19 di negari itu yang kembali menunjukkan peningkatan.
Sebanyak 602 kes jangkitan baharu direkodkan di Arab Saudi semalam, 147 kes sembuh dan satu kematian.
Pada Oktober lalu, Arab Saudi mengumumkan individu yang sudah divaksin sepenuhnya diberi kelonggaran untuk tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.
MoI menjelaskan semua prosedur dan arahan semasa tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan, berdasarkan perkembangan situasi epidemiologi tempatan dan global.
Dalam pada itu, MoI turut menggesa rakyatnya agar mematuhi langkah berjaga-jaga dan segera melengkapkan dos vaksinasi mereka.
-Al Arabiya News