DomestikSemasa

Tapak Perang Dunia Kedua wajar dipulihara

KAMPAR: Tapak Perang Dunia Kedua di Jambatan Kuala Dipang, Jeram perlu dipulihara supaya nilai peninggalan sejarahnya tidak hilang dan lupus dek ditelan arus pembangunan.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad, berkata kawasan itu juga masih mempunyai nilai sejarah yang belum diusik, memerlukan tindakan untuk pemuliharaan lanjut daripada pihak berkuasa sebelum dirosakkan dan lenyap seperti tapak sejarah lain.

“Kita harap ia akan menjadi tempat sejarah baharu untuk Geopark Lembah Kinta dan juga untuk aset pelancongan kerana usianya sudah cecah 80 tahun.

“Malah, ada juga pelancong luar negara yang datang ke sini, teruja melihat hasil lipatan sejarah yang masih ada. Kita tidak mahu ia terbiar dan seharusnya ia dibangunkan menjadi sebuah tarikan termasuk kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memasang papan tanda informasi mengenai peristiwa tapak sejarah Perang Dunia Kedua di Jambatan Kuala Dipang yang turut dihadiri Pegawai Geopark Lembah Kinta, Ain Maisyara Yazrol dan Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee.

Shaharom berkata, kawasan itu dipilih sebagai satu daripada 16 tapak pertempuran Perang Dunia Kedua di Perak untuk pendedahan mengenai peristiwa yang berlaku antara tentera Jepun dan British suatu ketika dahulu.

Sementara itu, mengulas mengenai pertempuran Kuala Dipang, Nor Hisham berkata, selepas Jambatan Victoria dan Jambatan Iskandar di Kuala Kangsar diletupkan, tentera British berundur dan membina pertahanan di Jambatan Besi, Kuala Dipang.

“Jambatan sepanjang 60 meter yang merentangi Sungai Kampar ini adalah antara lokasi strategik pertempuran di mana tentera Jepun dibantu lapan kereta kebal menyerang tentera British pada 29 Disember 1941.

“Kemaraan tentera Jepun disekat oleh tentera British di jambatan tersebut selama dua hari kerana jambatan itu diletupkan. Namun, ia telah diperbaiki semula oleh mereka untuk mara ke Kampar pada 1 Januari 1942,” katanya.

Beliau berkata, selepas Jepun menyerah kalah pada 1945, pihak British membaiki jambatan ini dengan jambatan Bailey dan sebelum itu digantikan dengan jambatan konkrit.

Sementara itu, Ain Maisyara berkata, pihaknya menyambut baik cadangan supaya tapak sejarah yang ada di jambatan itu dimasukkan dalam senarai Geopark Lembah Kinta.

“Kita akan usulkan cadangan ini kepada Jawatankuasa Pengurusan Geopark dan menyenaraikan tapak ini dalam Geopark Lembah Kinta sebagai tapak sejarah budaya ke sembilan selain Gua Tempurung, Gua Kandu dan Jeram Sungai Kampar,” katanya.

Papan tanda informasi yang dipasang berhampiran Jambatan Kuala Dipang hari ini memaparkan peta, gambar dan fakta penting berkaitan Pertempuran Kuala Dipang sebagai panduan dan maklumat orang ramai. – BERNAMA

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button