PendidikanSemasa

Pelihara adab perbezaan pendapat demi pengukuhan perpaduan

PUTRAJAYA:  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa telah merasmikan Program Bicara MADANI dalam Perbezaan Pendapat serta turut melancarkan buku ‘Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam’ di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.

Buku terbitan semula secara bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu merupakan buku terjemahan Haji Rivai Batubara daripada buku Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam, karya Almarhum Sheikh Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani (1935 – 2016).

Menurut Perdana Menteri, Almarhum Sheikh Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani merupakan seorang guru dan sahabat baiknya, juga seorang ulama yang berasal dari Iraq dan melanjutkan pengajian di Mesir.

Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri menegaskan bahawa pemeliharaan adab atau etika dalam perbezaan pandangan penting dalam memastikan umat terus bergerak ke hadapan.

“Perselisihan pendapat tidak harus menjadi punca keretakan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, saya mengajak dan menyeru kepada generasi pada masa kini untuk tidak melupakan warisan ilmuan silam Islam sebagai panduan menjalani kehidupan pada masa kini dan akan datang“, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir ke majlis adalah Menteri Pendidikan Fadhlina binti Sidek, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian-Kementerian, pegawai-pegawai kanan Persekutuan dan Negeri dan juga pemimpin agama bukan Islam.

Majlis turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 800 orang peserta dan jemputan.

Mendahului Majlis Perasmian tersebut adalah Forum Bicara MADANI Dalam Perbezaan Pendapat bertajuk ‘Adab Perbezaan Pendapat dalam Pengukuhan Perpaduan Nasional’.

Forum membincangkan adab-adab dan nilai yang perlu dipelihara dalam komunikasi kerana ia memberi kesan kepada keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat yang beragama Islam dan juga berbilang agama serta budaya dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Forum telah dijayakan oleh dua orang panel jemputan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur bin Manuty, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta dikemudi oleh moderator Tuan Haji Zakaria bin Othman, Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button