BanjirDomestikSemasa

Pelajar mangsa korban banjir kedua Terengganu

CHUKAI: Mangsa kedua korban banjir di Terengganu, disahkan merupakan seorang pelajar berusia 14 tahun selepas ditemui lemas di belakang rumahnya di Bandar Baru Cheneh, dekat sini, petang semalam.

Mohd Alimi Hashim, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh, dikatakan bermain air limpahan banjir kira-kira jam 3 petang, sedalam dua meter bersama adiknya.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, bagaimanapun, adik mangsa sempat berenang ke tebing untuk meminta bantuan daripada ahli keluarganya.

“Kakak mangsa berusia 21 tahun yang dimaklumkan kejadian itu segera turun memberi bantuan, namun gagal dan hampir lemas.

“Beberapa penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu kemudiannya berjaya membawa mangsa ke darat,” katanya.

Beliau berkata, sembilan anggota yang bergegas ke lokasi kejadian.

Kemudian, sebaik sampai di lokasi tersebut, terus memberikan bantuan pernafasan awal sebelum mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai tidak menjadikan suasana banjir sebagai pesta bermain air bagi mengelak kejadian sebegini berlaku.

https://www.youtube.com/watch?v=23jqEhu3wHo&t=3s

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button