KemanusiaanPendidikanSemasa

Pelajar lapar, Cikgu Adura nekad buka Gerobok Rezeki

Kerana perut kosong itu bahaya

Cikgu Adura bt Mohamed baru sahaja berpindah ke SMK Kampong Pasir Puteh pada Julai 2020. Di situ beliau menjawat jawatan Penolong Kanan Korikulum.  Walaupun SMK Kampong Pasir Puteh terletak di tengah bandar dalam Parlimen Ipoh Timur dan Adun Tebing Tinggi, majoriti pelajarnya adalah Melayu.

Berilmu, Beriman, Berbakti
SMK Kampung Pasir Puteh yang damai

Para pelajar datangnya dari kampung-kampung sekitar Lembah Sungai Kinta seperti, kampung Seri Kinta, Kampung Pasir Puteh, Kampung Cempaka Sari,Kampung Pari, dan Kampung Tebing Tinggi. Kebanyakan keluarga dari kampung itu bekerja sendiri, atau bekerja dengan upah yang kecil.

Adura bt Mohamed, Penolong Kanan Kokurikulum

Itulah antara perkara awal yang Cikgu Adura cuba fahami apabila berpindah ke sekolah baru. Dengan memahami keadaan sosial dan ekonomi keluarga pelajar, beliau boleh menjangka apa cabaran yang akan ditempuhi di sekolah itu.

Ini kerana dalam usia 54 tahun, pengalaman hidup Cikgu Adura bt Mohamed dengan para pelajar sekolah, sekiranya diibaratkan batu yang terkumpul, ia sudah menjadi gunung tinggi yang kukuh.

Dengan pengalaman itulah Cikgu Adura sangat faham bahawa pelajar dan kantin tidak dapat dipisahkan. Ada pelajar yang meletakkan kantin sebagai tempat kegemaran nombor satu di sekolah. Berada di situ mereka sangat bahagia.

Namun, apabila ada pelajar yang tidak ke kantin dan masih terus berada di kelas walaupun pada waktunya, Cikgu Adura tahu ada sesuatu yang tidak kena. Cikgu Adura tidak hanya berharap bahawa masalah pelajar itu selesai sendiri, melainkan beliau cuba untuk membantu yang termampu.

Walaupun sudah dapat mengagak jawapan mereka tidak ke kantin, tetap Cikgu Adura bertanya, dan jawab pelajar, “Tak ada duit, Cikgu.”

Berdasarkan pengalaman jugalah Cikgu Adura faham, banyak masalah timbul berpunca daripada perut yang kosong. Ada yang tidak mampu fokus dalam kelas, ada yang boleh jadi gastrik, dan ada yang berhujung menjadi jenayah dengan mencuri.

Atas kesedaran itu, Cikgu Adura dengan sokongan pengetua dan pihak sekolah, beliau nekad melancarkan ‘Gerobok Rezeki’ dengan modal permulaan RM5000. Ia adalah ruang penyimpanan barangan makanan, minuman, dan keperluan asas memasak khusus untuk pelajar dan keluarga pelajar yang kurang berkemampuan. Bekalan keperluan itu juga ada yang datangnya daripada pihak PIBG sekolah, NGO, dan individu perseorangan.

Gerobok Rezeki

Sekiranya tidak ada duit untuk beli makanan, masih ada Gerobok Rezeki untuk disinggahi. Sekiranya di rumah beras sudah habis atau minyak goreng sudah hitam, masih ada Gerobok Rezeki untuk dijenguk. Itulah harapan Cikgu Adura.

Untuk yang memerlukan

Paling utama, Cikgu Adura berharap para pelajar secara tidak langsung dapat melihat para guru di sekolah adalah insan-insan yang menyayangi mereka, yang prihatin dan empati. Semoga dengan itu, timbul kesedaran pelajar untuk belajar lebih bersungguh-sungguh. Paling tidak pun pelajar tidak bersangka buruk lagi dengan pihak sekolah.

Selain itu, Cikgu Adura juga sangat terkesan dengan didikan arwah ibu bapanya yang juga seorang guru. Sejak kecil lagi, beliau didedahkan dengan konsep berkongsi rezeki dengan rakan-rakan yang miskin tidak ada duit belanja. Ibunya akan memberi bekalan makanan yang bukan untuk Cikgu Adura seorang makan, tetapi untuk beberapa orang. Pada waktu rehat, Cikgu Adura akan berkongsi makanan itu dengan rakan-rakannya yang tidak berkemampuan. Itulah juga yang diamalkan oleh beliau sekarang dengan anak-anaknya, memberinya bekal lebih untuk dikongsi dengan rakan-rakan. Semuanya atas kemampuan masing-masing. Yang utama, konsep berkongsi rezeki akan menjadi subur dalam jiwa anak-anak.

Cikgu Adura berharap, Gerobok Rezeki ini dapat dijadikan contoh kepada sekolah-sekolah lain mengikut acuan dan kapasiti sendiri. Ini kerana sebenarnya sudah banyak sekolah yang membuat perkara yang serupa tetapi dalam skala kecil dan tidak dihebahkan dalam media massa. Namun, banyak bukan bermakna cukup dalam kes pelajar yang terpaksa berlapar. Seboleh-bolehnya di Malaysia tidak wujud lagi pelajar yang terpaksa berlapar ketika di sekolah.

Semoga ia dapat dijalan secara berterusan dan dapat mengurangkan kes murid cicir dan ponteng sekolah. Semoga juga ia menjadi langkah awal untuk para pelajar menyedari masih ada yang sayang dan prihatin kepada mereka, iaitu para guru yang sentiasa berkorban.

 

Related Articles

Back to top button