Semasa

Pejabat Labuan Shipyard terbakar

LABUAN : Tragedi yang berlaku pada Krismas semalam menyaksikan bangunan yang sudah mencecah umur empat dekat, Pejabat Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd (LSE) musnah dalam kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail, berkata mereka menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut kira-kira pada pukul 7 malam.

“Kami menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 7.33 malam dan anggota kami dengan tiga jentera dari ibu pejabat kami di Balai Bomba Rancha-Rancha bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pejabat itu sudah terbakar.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira satu jam 15 minit untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Ismaidi berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Hampir 100 peratus struktur kayu rosak akibat kebakaran itu, di mana fail, computer dan peralatan pejabat musnah,” katanya.

Menurut seorang pekerja yang melihat asap keluar dari pejabat, kejadian itu tidak dijangka kerana tiada kakitangan bekerja di pejabat sebelum kejadian.

“Tiada apa yang boleh kami lakukan kerana kebakaran bermula dari dalam pejabat, dan kebakaran memusnahkan jabatan kewangan dan pejabat CEO,” katanya.

Bangunan kayu itu yang dibina pada 1974 menempatkan beberapa jabatan termasuk jabatan kewangan dan pentadbiran serta pejabat ketua pegawai eksekutif (CEO).

-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button