Semasa

PDRM panggil penerbit, pelakon video judi tular

Jelas langgar undang-undang

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penerbit dan pelakon-pelakon disyaki terlibat dalam sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian yang tular dan mengundang kecaman netizen.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata isu kandungan video berkenaan didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Beliau berkata siasatan PDRM akan lebih menjurus kepada penerbit dan para pelakon yang terlibat dalam video itu.

“Mereka akan dikesan dan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung perkara ini,” – kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

Selain itu, Acryl Sani berkata PDRM menerima satu laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video itu.

Menurutnya lagi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan dihubungi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial satu video yang berdurasi selama dua minit satu saat bertemakan Aidilfitri yang mempromosikan perjudian dalam talian. – BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button