Tambah beliau saluran itu telah mula diperkenalkan sejak tahun 1972 lagi dan kemudiannya dipindahkan ke dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008.
Menurut beliau, bermula 1 Januari 2009, TV Pendidikan tidak lagi disiarkan di saluran TV konvensional.
“Kementerian telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Pada masa ini TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari iaitu dua jam di TV Okey, empat Jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7,” – Menteri Kanan (Pendidikan) /Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin
Beliau memberi penjelasan itu dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Dr. Mohd. Radzi berkata, bagaimanapun, pihak kementerian sedar jumlah masa siaran itu masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa.
Justeru, kementerian sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan TV Pendidikan dengan pendekatan yang bersesuaian.
“Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.
Pelbagai pihak menyarankan Kementerian Pendidikan segera melaksanakan pembelajaran melalui saluran televisyen secara komprehensif dan bersepadu sebagai alternatif kepada pembelajaran dalam talian sewaktu tempoh darurat ketika ini.
Kaedah itu dilihat lebih sesuai memandangkan capaian kepada saluran televisyen seperti RTM terdapat di seluruh negara.
Sementara itu bagi pembelajaran agama, slot Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bakal disiarkan setiap hari di TV AlHijrah bagi menjamin pendidikan agama di kalangan pelajar terutama di peringkat sekolah rendah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengambil maklum tentang kerisauan ibu bapa berkenaan kelas KAFA anak-anak mereka.
Tambahnya rancangan pendidikan agama itu akan dilaksanakan agensi di bawah kementeriannya melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) serta TV AlHijrah.
Makluman lebih lanjut berhubung slot pendidikan itu katanya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Slot pendidikan itu akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Ahad pada jam 4.30 petang dan ulangan pada hari sama jam 6.30 petang.
Ujarnya pada hari Isnin slot pendidikan itu akan menyiarkan mengenai Akidah dan Ibadah, Selasa pula mengenai Sirah, Rabu pendidikan Jawi dan Khat, Khamis pendidikan Adab, dan Jumaat pengajian Lughatul Quran.
Pada Sabtu pula slot pendidikan KAFA akan menyiarkan Penghayatan Cara Hidup Islam, manakala Ahad pula mengenai Amali Solat dan Bidang Quran
Sesungguhnya isu pendidikan adalah antara isu panas yang perlu ditangani secara berhemah dan hikmah kerana sebarang pelaksanaannya bukan sahaja membabitkan institusi pendidikan itu sahaja, sebaliknya institusi keluarga dan sosial.
Perlu diingat masa hadapan kanak-kanak bergantung kepada sistem pendidikan negara.
Dalam tempoh darurat yang berlaku kini, semua pihak harus bersabar, terutama ibu bapa untuk memberi contoh yang baik kepada generasi pewaris bangsa bahawa waktu sukar ini adalah waktu bersama-sama kita membangunkan negara.
Bukan sahaja institusi pendidikan malah hampir kesemua sektor terjejas, yang bukan sahaja memerlukan kesabaran tapi menuntut pemikiran atau kaedah baharu dalam norma kehidupan baharu selagi Coronavirus bertakhta.