
KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan meraih suntikan besar daripada ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Parlimen yang bermula pada jam 2 petang tadi.
Pemerhati pasaran berkata, Bursa Malaysia seperti mendapat ‘tonik’ daripada ucapan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan sesi dagangan bersambung dari rehat sesi pagi apabila melepasi paras 1,600 mata untuk berada pada sekitar 1,610 mata pada jam 4 petang, sebaik sahaja Parlimen meluluskan Belanjawan 2021.
Bursa Malaysia kekal positif ketika mengakhiri sesi dagangan pagi sementara pelabur masih menantikan perkembangan selanjutnya menjelang sesi undian Belanjawan 2021.
Ketika sesi dagangan bersambung jam 2 petang, FBM KLCI berada pada sekitar 1,600 mata sebelum melonjak kepada 1,609.14 sekitar jam 3 petang.
Pasaran saham tempatan bagaimanapun sedikit merosot kepada 1,606.70 ketika perbahasan hangat dalam Parlimen pada kira-kira jam 3 petang sebelum kembali melonjak kepada 1,610 mata.
Antara intipati yang menyokong pasaran saham tempatan selain kelulusan undian Belanjawan 2021 adalah beberapa komitmen baharu termasuk berkaitan moratorium di mana kerajaan akan terus mengadakan libat urus bersama institusi perbankan bagi memastikan ketersediaan untuk membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah mencabar.
Selain itu, langkah memperluaskan program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas dari segi pendapatan membabitkan lapan juta ahli juga dilihat bakal menyokong ekonomi domestik.