Pak Cik Zakaria ditempelak kerana memberi nasihat covid kepada anak muda
Umurnya sudah lebih 90 tahun

Sabak Bernam : Dalam Misi Ummah Bantu Ummah, yang digerakan oleh MAPIM Malaysia hasil sumbangan ramai, wakil MAPIM sempat bertemu dengan penerima bantuan yang unik ini.
Umurnya sudah lebih 90 tahun tetapi masih aktif dan cergas orangnya walaupun keadaan fizikal sudah tidak mendukung. Dia mesra disapa dengan panggilan Pak Cik Zakaria atau nama penuhnya Zakaria bin Joned.

Semasa sampai ke rumahnya, kami disambut oleh pak cik Zakaria dan anaknya yang tinggal bersama dan menjaga beliau di situ. Keadaan rumah yang ditempati oleh Pak Cik Zakaria sudah nampak uzur dengan atap luar yang sudah berkarat, dan ada yang sudah terkopak.

Walaupun punya anak yang bertanggungjawab, tetapi anak-anaknya juga punyai keluarga dan terjejas akibat pandemik covid 19. Itu meresahkan Pak Cik Zakaria kerana dia tidak mahu menyusahkan mereka.
Pak Cik Zakaria pada umur 90-an masih nampak tegang kulit wajahnya, dengan beberapa batang gigi yang masih utuh. Cuma pergerakannya sudah mula tersekat-sekat. Keadaan itu yang membuatkan anak-anaknya risau untuk melepaskan dia keluar. Kini Pak Cik Zakaria hanya duduk di rumah dan sesekali berada di luar untuk membersihkan halaman.
Dengan baju putih berbelang halus, dia mula berbual dengan wakil MAPIM Malaysia. Pada mulanya malu-malu, lama kelamaan dia semakin biasa dan dia pandai melucu.
Pak Cik Zakaria bersemangat bercerita tentang zaman Jepun ketika dia bekerja sebagai ‘jaga’. Katanya, “Zaman Jepun dulu susah. Tak ada kain, nak pakai seluar macam mana? Sekarang senang. Seluar senang dapat.”

Apabila ditanya pendapatnya tentang pandemik Covid -19, beliau menjawab,
“Ikutlah macam pak cik ni, ha. Duduk rumah. Jangan merayap.”
Nasihat itu juga yang pernah dia beritahu kepada sekumpulan anak muda di luar sana, tetapi mereka menempelak kembali Pak Cik Zakaria.
“Ini aku punya pasal, apa kau peduli.”
Mendengarkan itu, pak cik Zakaria hanya diam. Itulah cabaran zaman covid-19 sekarang, pada ketika nasihat sudah sepertinya sudah tidak berguna. Paling menyedihkan, adab juga sudah berkurang.

Pada kesempatan itu, wakil MAPIM Malaysia menghulurkan bantuan keperluan asas yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia kepada Pak Cik Zakaria. Pak Cik Zakaria terlihat sangat gembira dan bersyukur kerana bantuan itu setidak-tidaknya dapat meringankan beban keluarganya.
Menurut wakil MAPIM Malaysia, Tuan Siddiq, “Kita akan usahakan membantu semua mereka yang terjejas akibat covid 19. Kita tak boleh kata, oh dia ada anak, tak payah bantu. Kadangkala anak-anak mereka pun hidup susah. Jangan pukul rata. Dan kita masih perlukan lebih banyak sumbangan. InsyaAllah MAPIM Malaysia akan berusaha menyalurkan amanah ini dengan sebaik-baiknya.”


#MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300 & RM500 untuk pelbagai bantuan meliputi makanan, pembaikan rumah asnaf dan juga perkhidmatan sokongan perubatan menerusi mobile klinik.
Sumbangan boleh dibuat melalui: www.BantuUmmah.com
ATAU menerusi Akaun Maybank TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM 562263-540066
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu
1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016