Covid19Semasa

Organ, tisu individu meninggal akibat Covid-19 tidak boleh didermakan

SHAH ALAM : Disebabkan virus Covid-19 dikategorikan sebagai penyakit berjangkit, organ dan tisu individu yang meninggal dunia akibat virus tersebut tidak boleh didermakan kepada orang lain.

Pusat Sumber Transplan Nasional dalam satu hantaran di Facebook berkata, penerima organ dan tisu berisiko untuk dijangkiti virus tersebut.

Menurutnya, ketetapan mengenai perkara tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2020 lalu.

“Semua bakal penderma organ perlu dilakukan ujian calitan Covid-19 sebelum prosedur perolehan organ dan tisu dilaksanakan. Ia berdasarkan Garis Panduan Perolehan dan Pendermaan Organ Selepas Kematian untuk Covid-19 keluaran tahun 2020.

“Kebenaran waris secara bertulis menurut Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130) diperlukan sekiranya berhasrat untuk melaksanakan pendermaan organ dan tisu kardaverik (selepas kematian),” menurut hantaran di Facebook Derma Organ semalam.

Ketika ini, seramai 493,481 individu direkodkan telah mendaftar untuk mendermakan organ mereka kepada Pusat Sumber Transplan Nasional.

Pusat Sumber Transplan Nasional sebelum ini turut memaklumkan bahawa seramai 4,924 pesakit masih menunggu untuk menerima pendermaan organ dengan buah pinggang adalah tertinggi iaitu 4,924 orang diikuti hati (10) dan jantung (lapan).

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button