Operator pengangkutan awam perlu pastikan penumpang tunjuk sijil vaksin
KUALA LUMPUR : Operator-operator pengangkutan awam dinasihatkan perlu sentiasa memastikan setiap penumpang atau pengguna perkhidmatan pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah tersebut adalah bagi membuktikan penumpang dan pengguna perkhidmatan telah lengkap divaksinasi seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri.
“Kepada operator-operator pengangkutan awam bagi kesemua sektor darat, udara dan maritim seperti pengusaha bas ekspres, rel, teksi, e-hailing, syarikat penerbangan, pengusaha feri dan kapal agar tidak leka serta sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Semua operator perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna perkhidmatan pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi bagi membuktikan mereka telah lengkap divaksinasi sebagaimana yang dikehendaki dalam SOP bagi tujuan rentas negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya lagi, pematuhan-pematuhan SOP lain seperti memakai pelitup separuh muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) juga perlu dipatuhi tanpa kompromi.
Para pengguna pengangkutan awam turut digalakkan membuat ujian saringan COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan orang disekeliling.
Dalam pada itu, MOT juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan negara yang bertungkus-lumus tanpa mengenal erti penat lelah sehingga kadar vaksinasi populasi dewasa rakyat Malaysia telah mencapai 90.02% atau 21,073,482 orang lengkap divaksinasi setakat 10 Oktober 2021.
Oleh Hafeez Anuar