Omicron : Arab Saudi mendesak langkah kawalan yang lebih ketat
RIYADH : Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Dr Muhammad Al-Abdel Ali, mendesak langkah kawalan yang lebih ketat ketika varian Omicron semakin menular.
Beliau menyatakan bahawa gejala pandemik semasa di Arab Saudi tidak sama seperti pada permulaan wabak Covid-19 pada 2020.
Pada hakikatnya, beliau mendakwa, Arab Saudi telah melakukan segala yang mungkin untuk menghentikan Covid-19 daripada merebak.
“Tahap kesedaran orang ramai terhadap virus ini juga tinggi. Begitu juga dengan daya imun penduduk yang tinggi selepas kerajaan memperhebatkan program vaksinasi negara,” katanya.
Kira-kira 95 peratus penduduk Arab Saudi dengan kumpulan sasar umur tertentu melengkapkan dos vaksin.
Dr Muhammad berkata bahawa wabak itu telah melalui pelbagai peringkat di seluruh dunia, termasuk di Arab Saudi.
Beliau berkata bahawa varian Omicron telah ditemui di setiap negara, termasuk Arab Saudi, dan ia telah tersebar ke seluruh dunia.
“Data yang kami peroleh menunjukkan bahawa Omicron merebak dengan cepat, yang menjelaskan lonjakan kes jangkitan di Arab Saudi,” tambahnya.
Dr Muhammad juga mendedahkan bahawa majoriti jangkitan yang diperhatikan adalah pada mereka yang tidak mendapat vaksinasi atau yang belum diimunisasi sepenuhnya.
“Penularan Omicron akan reda tidak lama lagi, terutama sekali selepas langkah pencegahan dilaksanakan semula,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa penemuan kajian itu menunjukkan bahawa dos vaksin ketiga mungkin melindungi seseorang daripada dijangkiti virus itu di samping mengehadkan penyebaran virus itu.
“Kajian juga membuktikan gejala jangkitan adalah ringan bagi mereka yang dijangkiti virus COVID-19 jika lengkap divaksin,” katanya.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM