DuniaSemasa

Pantai timur Taiwan dilanda gempa kuat

TAIPEI : Gegaran kuat yang melanda pantai timur Taiwan akibat gempa bumi petang Isnin turut dirasai di ibu kota Taipei.

Bagaimanapun, menurut Biro Cuaca Pusat, belum ada rekod laporan mengenai kerosakan buat masa ini.

Katanya, gempa itu berukuran magnitud 6 pada skala Richter dan melanda pada kedalaman 19 kilometer (km), namun Pemantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) meletakkan magnitud lebih tinggi iaitu pada 6.2.

Kejadian gempa di laut berlaku kira-kira 56 km ke timur bandar pantai Hualien.

Sementara itu, wartawan AFP yang berada di Taipei berkata bencana yang berlaku pada jam 5.46 petang (0946 GMT) itu menyaksikan bangunan bergoyang kuat ketika gegaran berlaku.

“Gegaran berterusan selama 20 saat dengan keadaan tanah turut bergerak,” katanya.

Gempa bumi kerap berlaku di Taiwan kerana pulau itu terletak berhampiran dengan persimpangan dua plat tektonik.

Gempa bumi pada Oktober lalu, berukuran magnitud 6.5 melanda timur laut Yilan dengan kerosakan yang minimum kerana ia berada pada kedalaman 67 km.

Pada 2018, kawasan tumpuan pelancong yang indah di Hualien, dilanda gempa bumi berukuran magnitud 6.4 yang juga mengorbankan 17 orang dan mencederakan hampir 300 mangsa. -AFP

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button