Omicron : 740 kes di Thailand
BANGKOK : Selepas mengenal pasti kluster Omicron pertama di negara itu di wilayah utara Kalasin sebagai “super-spreader event”, pihak berkuasa Kesihatan Awam Thai telah memberi amaran mengenai peningkatan jangkitan Covid-19.
Kluster yang merebak cepat itu berkaitan dengan pasangan suami isteri warga Thailand berusia 47 tahun yang pulang dari Belgium dan memasuki negara itu di bawah prosedur tanpa kuarantin “Test & Go”.
Pasangan itu pergi ke bar, konsert dan pasar.
Thailand telah melaporkan 740 kes varian Omicron di 33 wilayah di negara itu, termasuk lebih 200 kes daripada kluster Kalasin.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Suakit Sirilak, berkata kes Omicron merekodkan 489 kes import dan 251 penyakit tempatan.
“Kami telah melakukan 8,000 ujian Covid-19 setakat ini dan menemui 740 kes Omicron,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Dr Kiatiphum Wongrajit, mendakwa dalam senario terburuk, dengan hanya beberapa ujian dan vaksin, kes Covid-19 harian di negara ini mungkin melebihi 30,000, dengan lebih 170 kematian.
Jika orang ramai mengikut langkah pencegahan penularan Covid-19, kes Covid-19 mungkin mencecah 10,000, dengan kematian harian yang lebih sedikit.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr. Taweesin Visanuyothin, berkata kakitangan kerajaan akan mula bekerja dari rumah selepas Tahun Baru bagi membantu memerangi penyakit itu.
Beliau turut menyeru pihak swasta untuk turut serta.
Thailand mencatatkan 2,575 kes baharu Covid-19 dan 17 kematian dalam tempoh 24 jam sebelumnya, meningkatkan jumlah jangkitan kepada 2,217,287 dan 21,647 kematian.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM