Semasa

Ajaran sesat Hadi Minallah cuba disebarkan di Johor

Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today

ISKANDAR PUTERI: Pada ogos lalu telah tular video berdurasi 7 minit 30 saat menunjukkan seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai pengasas ajaran Hadi Minallah iaitu, Wayang Hadi Kesumo atau lebih dikenali sebagai Hadi Minallah Aminullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Hadi mengakui bahawa dia tidak mempunyai agama dan menyebarkan fahaman makrifat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang mana dia berkata Tuhan tidak melihat kepada agama selain menolak hadis.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ajaran sesat tersebut sedang aktif di Kajang dan Johor.

Terkini Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid mengatakan terdapat cubaan anggota ajaran sesat Hadi menyebarkan fahaman terbabit di daerah Kota Tinggi.

“Jabatan Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapat maklumat ajaran ini cuba dibawa masuk ke Johor dan dikesan di Kota Tinggi, kita tahu pergerakan mereka dan mahu beri amaran supaya segera berhenti sebelum tangkapan dilakukan.

Berdasarkan kepada siasatan yang dilaksanakan, mereka ini bukan orang Johor pun (mereka yang cuba sebarkan ajaran sesat) cuma penganutnya sahaja baharu cuba masuk ke Johor, namun kita sedang menyiasat dan mencegah perkara ini dari terus berleluasa.”

Fared sempat berpesan kepada rakyat Johor bahawa ajaran itu dibawa dari negara jiran dan orang (pegasas) itu juga bukan beragama Islam jadi mengapa hendak percaya pada ajaran yang dibawanya serta nak bercerita tentang agama kita.

Beliau turut memberi peringatan tegas bahawa tindakan undang-undang bakal diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menyebarkan ajaran sesat di negeri Johor.

“Saya nak beri peringatan pada sesiapa juga yang terdetik untuk menyebarkan mana-mana ajaran yang bersalahan dengan Islam bahawa kita ada Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor”

“Yang mana menjadi suatu kesalahan menyebarkan doktrin agama selain Islam. Berwaspada dan jangan dekati sebarang ajaran yang menyeleweng daripada Islam. Hal ini boleh didakwa di bawah enakmen itu malah boleh didakwa menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).” – Katanya

Related Articles

Back to top button